Video seorang Adun bersama gengnya bertumbuk di tengah jalanraya yang menjadi viral hingga ditonton melebihi 600,000 pengguna laman sosial akhirnya disiasat oleh polis setelah seorang individu membuat laporan.
Kejadian yang dikatakan berlaku di tengah jalan depan sebuah pusat beli-belah di Alor Setar pada 15 Mei lalu itu melibatkan beberapa orang individu. Sehubungan itu, polis Kedah akan memanggil seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi memberi keterangan berhubung dakwaan memukul seorang lelaki pada kejadian tersebut.
VIDEONYA SELEPAS INI:
Ketua polis daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata pihaknya telah memanggil pengadu awal pagi tadi, yang mendakwa dipukul oleh beberapa individu termasuk Adun itu di hadapan sebuah kompleks membeli-belah Aman Central di sini.
Beliau berkata pihaknya belum mengenal pasti suspek yang dipercayai memukul pengadu yang dikenali sebagai Alif Adam, sama ada Adun berkenaan atau individu lain.
VIDEO:
"Kami tidak tahu siapa dalam video yang memukul pengadu dan kami sedang siasat kes tersebut. Kami telah menghubungi Adun berkenaan dan mungkin beliau beri kenyataan berhubung kes itu esok," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Katanya, pengadu membuat laporan polis pada hari kejadian dan tidak mengenali Adun itu sehingga kes tersebut menjadi viral dalam laman sosial Facebook.
Mohd Rozi berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian 5.45 petang pada 15 Mei lepas, seorang lelaki dikenali sebagai Alif Adam mendakwa beberapa individu bertindak menariknya keluar dari kenderaan sebelum dipukul oleh beberapa lelaki.
Dakwanya dalam laman sosial Facebook, teman wanitanya yang mahu meleraikan pergaduhan itu turut mengalami kecederaan akibat dipukul dan mendapat rawatan di sebuah hospital swasta.
Pergaduhan tersebut dileraikan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu sebelum kenderaan yang dinaiki Adun itu beredar dari tempat kejadian.
Sementara itu Adun berkenaan gagal dihubungi bagi mendapatkan pengesahan mengenai kejadian itu. — Bernama