Wednesday, October 26, 2016

PELIK TAPI BENAR - BURGER 'P.RAMLY' BERDAGING BABI



Jika baru-baru ini isu 'hotdog' hangat diperdebatkan, terkini tiba-tiba muncul pula kontroversi baharu apabila sebuah rangkaian restoran di ibu kota menamakan menu burger babi dengan nama P. Ramly.

Nama menu haram itu sekali gus mengejutkan ramai kerana bukan sahaja menggunakan nama Melayu tetapi juga seolah-olah mencemar nama seniman Agung tanah air iaitu Tan Sri P. Ramlee.

Malah, ejaan ‘Ramly’ juga merujuk kepada sebuah syarikat pembekal makanan sejuk beku bumiputera yang terkenal.





Difahamkan, syarikat Ramly kini sedang menyiasat perkara tersebut untuk tindakan lanjut.

Berbalik mengenai burger 'P.Ramly', menurut laporan Berita Harian, menu tersebut dijual dengan harga RM9.90 per set itu dikatakan sudah pun mula diperkenalkan sejak 31 Ogos lalu.

Dan menerusi tinjauan wartawan di premis berkenaan, seorang pekerja restoran memberitahu, ‘P’ yang terdapat pada menu tersebut adalah merujuk kepada pork ataupun daging babi yang digunakan dalam bahan utama burger.

Manakala, ‘Ramly’ pula digunakan restoran itu kerana nama tersebut adalah nama biasa bagi rakyat Malaysia.

Selain di ibu kota, rangkaian restoran makanan segera itu turut mempunyai cawangan di Melaka dan Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, ramai pihak yang menyifatkan tindakan restoran berkenaan boleh mengelirukan orang ramai khususnya umat Islam.

Berikutan itu, mereka berharap pihak berkuasa khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dapat bertindak segera.